Sunday, October 25, 2009

Kisah Isteri Derhaka.

Aku seorang wanita bergelar isteri dan ibu. Sebagai seorang isteri, aku sanggup mengorbankan seluruh hidupku untuk seorang suami demi mendapat keredhaan Allah. Seorang isteri yang tidak meninggalkan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, mentaati Allah dan Rasulnya, menjaga maruah diri ketika ketiadaan suami, menjaga harta suami.. maka masuklah syurga dari mana-mana pintu yang disukai. Aku bukan pelajar Al-Azhar. Matan hadith ini tidak kuhafal. Terjemahannya pun tidak. Tapi aku tahu intisarinya.. wanita bergelar isteri sangat beruntung, mulia dan terpandang di sisi Allah. Ada jaminan masuk syurga kalau kena caranya.

Tapi aku sering dicop derhaka, degil, tak solehah, hati tak bersih, materialistik, bahkan pernah dipanggil binatang oleh suamiku.

Ya, aku isteri yang hina.

Mari kuceritakan kisah harianku. Membacanya pasti kalian bersetuju, aku adalah isteri derhaka.

Setiap pagi, setelah solat subuh aku akan menggosok pakaian suamiku dan anak-anakku. Kemudian, aku akan memasak. Nasi goreng, nasi lemak, mee goreng, bihun goreng atau telur dan roti. Kalau tak sempat atau penat, aku minta suamiku belikan makanan. Sejak anak sulungku pandai ke kedai, dialah yang akan pergi belikan makanan pagi. Duitnya, mestilah duit yang suami berikan di awal bulan. Yelah, aku yang tak nak masak.. kenalah aku keluarkan wang. Bukan tak pernah suamiku membelanjai. Pernah juga. Selalu juga. Tapi tak berapa sedap sebab dia akan sebut berapa yang dia habis. Terasa tak tertelan nak makan kalau sebut begitu dan aku pun kenalah bertahan masak juga sebab tak nak duit terbazir disebabkan kemalasanku.

Bila suamiku nak berpakaian, aku mula kaget. Baju panasnya, seluarnya yang besar dan kecil, sapu tangan dan stokin kenalah siap sedia. Jika ada yang tak terjumpa, maklumlah aku ni isteri yang bodoh, kadang-kadang lupa benda-benda kecil macam tu; mulalah suamiku berceramah dengan suara seorang polis menyoal siasat panjenayah. Aku sedar di situ kelemahanku.

Bab masak-memasak, urut-mengurut, sapu-menyapu dan membuat air, aku beres dan rasanya the best. Tapi bab kain-kain ni, aku tak berapa larat. Dengan bertong-tong kain setiap hari yang perlu kubasuh, jemur dan lipat.. aku merasa kalah dan angkat bendera putih. Aku benar-benar tak larat menguruskan semua itu. Bukan kerja itu saja yang perlu kuuruskan setiap hari.

Semua urusan rumah terpikul di bahuku. Sebab? Aku seorang surirumah. Mandikan anak-anak, menjaga dan mengajar anak-anak membaca, mengaji Al-Quran, solat, adab dan akhlak. Menjaga makan minum sekeluarga, menguruskan kebersihan rumah dari menyapu, membersih tandas dan bilik air, mengemas, menguruskan halaman rumah dari mengorek longkang hinggalah membakar sampah. Memang itu tanggungjawabku.. Sebab? Aku seorang surirumah.

Aku pun pemalas juga. Ada waktu-waktunya aku sungguh penat. Aku tak larat. Macamana tak penat, rumah ni dihuni enam orang. Tapi yang menguruskan hanya aku seorang. Jika tak kena di pandangan matanya, suami akan membebel dan berleter. Bahkan akan menjadikan punca pergaduhan denganku.

Aku manusia biasa yang tak lepas dari membuat silap, tak dapat lari dari merasa letih dan penat. Tetapi tiada siapa yang memahami keletihan dan kepenatanku. Hanya aku yang perlu memahami keletihan dan kepenatan suami. Kalau suamiku penat, aku sanggup jalan ke kedai di panah terik mentari membeli beras, gula, telur atau kelapa. Lagipun setiap hari aku akan mengambil anak dari sekolah dengan berjalan kaki. Aku tak keluar rumah kalau tanpa meminta izin suami.

Pakaian lusuh - aku tak kisah. Aku tak minta, emas dan permata. Rumah tak cantik, aku duduk seperti biasa. Aku tak minta banglo dan kondo. Kereta buruk, aku naik tak malu sedikit pun. Aku tak minta Wish atau Camry. Aku tak pernah meminta darimu wahai suamiku apa-apa yang kau tak mampu.

Aku sangat memahami kesusahanmu. Aku tidak mahu menambah kesulitanmu. Aku telah redho dengan segala taqdir yang Allah tentukan untukku. Aku terima dengan hati yang syukur. Aku korbankan ijazahku untuk menjadi isteri yang solehah. Aku korbankan hidup matiku, sakit demamku untuk menggembirakanmu. Aku korbankan penat lelahku untuk membahagiakanmu.

Aku turutkan segala kata-kata dan pandanganmu.

Walaupun begitu, aku masih isteri yang derhaka bagimu.

28 comments:

  1. salam..
    kau yang ku panggil akak..

    aku seorang lelaki..
    aku akui jiwa terunaku bukan selembut sutera..
    jauh sekali ingin melihat drama-drama cinta..
    yang sering terhidang balik kaca berwarna..

    namun..
    jiwaku diketuk hiba..
    bila menjamu mata melihat tinta rasamu..
    dari awal bibit tinta pelbagai warna..
    ku mula menjamah satu persatu..
    cuba memperoleh rasa..
    dan dalam isi ragamu.
    ku jumpa rasa yang paling pilu..

    kak..
    aku masih muda..
    munkin tidak bisa membuka suara..
    hanya mampu melihat pentas manusia..
    pelbagai ragam dan warna..
    pintaku seadanya..
    bersabarlah selagi menggenggam nyawa..
    tuhan lebih dekat dari uratmu..
    jadikan pengajaran dalam memilih jalan kelak..
    agar tidak kecundang lagi..
    gunakan segulung ijazah itu sebaiknya..
    buka lembaran baru..
    lembaan yang putih bersih..
    lagi harum mewangi..
    kami sahabat blogger sentiasa mendoakan..
    yang terbaik untuk lentera hidupmu..
    (^^,)



    *carilah Dia..
    tanyalah Dia..
    Apakah HikmahNya..

    wassalam..
    -adik cahaya malam..

    ReplyDelete
  2. salam

    Rasulullah SAW bersabda : "Wahai kaum wanita! Berikanlah sedekah kerana sesungguhnya saya telah melihat bahawa kebanyakan daripada penghuni neraka adalah terdiri daripada golongan kamu."

    Ada seorang yang bertanya kepada Baginda : "Wahai Rasulullah mengapa begitu? Baginda menerangkan : "Kerana kamu banyak menyumpah serapah dan tidak bersyukur kepada suamimu."

    ReplyDelete
  3. salam

    Dipetik daripada buku Suami Isteri yang Soleh karangan Abd. Wahab Saleh, ms 52

    Wasiat Rasulullah kepada Wanita

    Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Kebanyakan wanita itu isi neraka dan kayu apinya." Sayidatina Asiyah bertanya, "Mengapa wahai Rasulullah?" Jawab Rasulullah SAW :-

    1. Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayan suami serta melakukan kerja-kerja di rumah.

    2. Tiada memuji (bersyukur/berterima kasih) di atas kemurahan Allah yang didatangkannya melalui suaminya.
    (jarang orang perempuan yang mahu mengucapkan terima kasih di atas pemberian suamimya)

    3. Sering mengkufurkan (ingkar) tentang nikmat Allah. Contohnya, bila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yang mengatakan, "Sudah 10 tahun saya kahwin dengan awak, tak ada apa-apa pun!"

    4. Gemar bercakap perkara sia-sia dan yang berdosa. Contohnya, bercakap tentang perabot-perabot rumah dan mengumpat.

    5. Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam beragama di mana mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki, rakan-rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahir.

    ReplyDelete
  4. salam

    Dipetik Hadis-hadis Nabi SAW di bawah daripada buku Suami Isteri yang Soleh karangan Abd. Wahab Saleh, ms 18-20

    Diceritakan dari Nabi SAW bahwa beliau bersabda : "Sunguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama ia senatiasa dalam kerelaan suaminya."

    Dan siapa saja seorang isteri yang tidak berbakti kepada suaminya, maka ia mendapat laknat Allah dan malaikat serta semua manusia.

    Siapa saja seorang isteri bermuka muram di muka suaminya, maka ia dalam kemurkaan Allah hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira kepada suaminya dan mohon kerelaannya.

    Siapa saja seorang isteri keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, maka ia dilaknati oleh malaikat hingga ia kembali.

    Asirah RA berkata : "Wahai kaum wanita! Seandainya kamu mengerti kewajipanmu terhadap suamimu, tentu seorang isteri dari kamu bertindak mengusap debu dari kedua telapak kaki suaminya dengan sebagian mukanya.

    Nabi SAW bersabda : "Tiga orang yang tidak diterima solatnya oleh Allah da tidak diangkat kebajikan mereka ke langit ialah :

    1. Budak yang lari dari tuannya hingga dia kembali.
    2. Seorang isteri yang dimurkai oleh suaminya hingga rela.
    3. Orang yang mabuk hingga dia sedar kembali.

    Nabi SAW bersabda : "Jika seorang isteri berkata kepada suaminya, tidak pernah aku melihat kebajikanmu sama sekali, maka hancur leburlah pahala amal kebajikannya.

    Nabi SAW bersabda : "Siapa saja seorang isteri meminta cerai kepada suaminya tanpa sebab keadaan yang sangat diperlukan, maka haramlah bau syurga atasnya.

    Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya.

    ReplyDelete
  5. salam cahaya malam,

    Apa yang kau tidak tahu, jangan kau buat rumusan. Sebab, seperti kata Nabi, manusia memusuhi apa yang dia tidak ketahui.

    Sobat, aku ingin bertanya padamu - apa pandanganmu tentang seorang isteri bercerita
    darihal rumahtangganya di laman blog sebegini. (cuba tanya juga, siapa yang mengajarkannya berblog)

    Sobat, kau tolong bacakan hadis-hadis Nabi bagaimana kisah rumahtangga sepatutnya. Satu dunia, mahu diuar-uarkan atau apa.

    ReplyDelete
  6. salam Kembara

    Wahai, itulah dirimu sering membuat anggapan. Dan sarananku supaya dirimu membersihkan hati tidak disambut malahan kau merasa jengkel dengan ajakan itu.

    Tidak pernah dia, suamimu dalam hatinya menganggap kau derhaka. Derhaka, disebut bilamana dia,suamimu sedang marah, disiram lagi dengan sikapmu begitu. Derhaka yang disebut di lidah, bukan di hati adalah bertujuan untuk menggertakmu, itu saja.

    Aku kira, tiap wanita yang beriman akan resah gelisah dan takut bila disebut suamimya derhaka dan pasti memohon maaf.

    Tetapi ya Allah, kau malahan tidak takut bila digertak dengan perkataan itu, malah bersikeras dan sampai sanggup pula menulis begini di sini pula.

    Oleh kerana dia, suamimu lelaki, dia sebenarnya telah lupa dan tak ingatpun akan segala kesalahan-kesalahan yang telah kau lakukan kepadanya. Dia telah memaafkan dirimu - kosong-kosong - sebelum kau meminta maaf padanya. Sebab itulah dia sering memesan, bersihkan hati padamu, sebab dia selalu buat begitu - kosong-kosong.

    ReplyDelete
  7. Sungguh, Allah Maha Benar, Rasulullah s.a.w juga benar. Hanya engkau yang tidak benar. Dalam perkataan dan perbuatan.

    ReplyDelete
  8. Bacalah ayat empat, surah As-Soff. Mengertilah engkau. Bacalah juga penghujung surah Asy-Syu'ara' wahai penyair yang hidup di dalam dunia khayalan dan sering menabur mimpi dalam hidup anak dan isteri.

    ReplyDelete
  9. Jangan sibuk menyalahkan orang lain, menuding jari pada pihak ketiga atau apanya, jika semua itu.. berpunca dari dirimu sendiri. Engkau menzalimi dirimu, isterimu, anak-anakmu, ibu bapamu, jiran-jiranmu, rakan-rakan sekerjamu, org2 tua di sekelilingmu. Engkau menzalimi org2 yang berbakti dan berjasa buatmu. Engkau mementingkan diri.

    ReplyDelete
  10. Engkau menyuruh isterimu membersihkan hati tapi engkau tidak pernah membersihkan hatimu. Engkau yakin engkau benar, padahal engkau sering melengah-lengahkan arahan Tuhan, suruhan Rasulullah. Engkau mempermainkannya dalam bait dan puisi indahmu. Engkau menyuruh orang lain tapi dirimu sendiri engkau lupakan. Allah benci kepada orang yang berkata tetapi tidak mengotakannya.

    ReplyDelete
  11. Untuk apa engkau mengaku bertaubat dan insaf di dalam sms-sms pujukanmu itu sedangkan engkau sebenarnya masih ego dan keras hati?

    ReplyDelete
  12. Engkau mahu memujukku pulang kembali kepadamu? Sedangkan selepas ini engkau akan memperlakukanku dengan lebih teruk? Ibubapa dan keluargamu akan membiarkanku dan anak-anak terus terseksa?

    ReplyDelete
  13. Engkau hanya berkata kosong-kosong, padahal salah isterimu engkau maafkan dengan muka masam. Engkau ungkit-ungkit bila berkesempatan. Apakah engkau layak menggertak isterimu dengan kalimah derhaka, degil, tak solehah, binatang? Engkau tidak berperikemanusiaan. RAsulullah, Abu BAkar, Umar, Uthman, dan Ali tidak pernah berbuat demmikian kepada isteri yang telah berbakti. Engkau hanya memandang dari kacamatamu, engkau tidak mengerti hati dan jiwa seorang isteri. Mendidik isteri bukan dengan gertak dan kekerasan. KEnapa tidak kau ingat hadith2 Nabi bagaimana mendidik, mengasihi dan melindungi isteri?

    ReplyDelete
  14. Untuk kepentingan engkau, engkau ingatlah hadith2 Nabi s.a.w.. dan isterimu telah melakukan sedaya kudratnya. Tetapi engkau tidak ingat hadith2 tentang tanggungjawab suami dan hak isteri. Engkau lepas tangan pula dalam hal itu.

    ReplyDelete
  15. Bagaimana pula dengan suami yang tidak bersyukur dengan isterinya?

    ReplyDelete
  16. Aku menulis di blog ini, sekadar bercerita, untuk peringatan kaumku. Tidak terlintas di hatiku mahu memalukan sesiapa. Dan orang-orang pun tidak tahu, siapakah kembara dhaif, siapakah suamiku, gurukah dia, pensyarahkah dia, tukang kebunkah dia, penyajakkah dia, pelakon popularkah dia. Kenapa engkau begitu emosi, wahai TimurLane yang kukubesi?

    ReplyDelete
  17. Cahaya malam..
    terima kasih kerana cuba memahami. Memang adik tidak tahu kisah sebenar. Tidak perlu. Baru saja akak menulis secebis pengalaman.. hanya 10 peratus, dari kisah hidup akak dan anak-anak. Mata yang lain hanya memandang, bahu kami yang memikul.

    Tulisan ini tidak mendedahkan sesiapa tetapi hanya sebagai tauladan dan sempadan buat isteri-isteri dan suami-suami di luar sana.

    Pesan akak pada adik, jika berkahwin, carilah isteri yang solehah dan jagalah hatinya. Jagalah hatinya. Jagalah hatinya. Kelak kau akan dikasihi dan dihormati. Jangan hanya mementingkan diri sendiri. Pentingkanlah kebajikan dan keperluan isterimu. Mungkin di saat kau sedang sibuk berblog, isterimu memerlukan perhatian darimu. Jika dia sakit, maka kau ambil beratlah akan dia. Jangan kau biarkan begitu saja. Tidak semestinya dibawa ke klinik tetapi perhatikan dan belailah dia. Dia akan cepat sihat walaupun tanpa ubat. Jika dia menghidangkan makanan uuntukmu jangan kau komen waktu itu juga. Jika dia telah mengorbankan dirinya untukmu, kau hargailah dia, belailah dia, tingkatkan keyakinan dirinya.

    Jika dia menangis, pujuklah dia.. jangan kau merasa bosan dengan kemanjaannya kerana pujukanmu akan menguatkan hatinya.

    Jika dia bertanya jangan kau menjawab kasar.

    Contohilah Nabi s.a.w, Umar dan Ali dan melayani isteri.

    ReplyDelete
  18. Al-Mar'atus Solehah adalah TimurLane juga. TimurLane adalah... 'biarlah rahsia'.

    ReplyDelete
  19. Wahai Kembara Dhaif,

    Sebab Allah Maha Benar, Rasulullah s.a.w juga benarlah, dia - suamimu menulis hadis-hadis itu sebagai tazkirah, sebagai siraman hati.

    Ya, Insya-Allah, dia - suamimu akan baca ayat empat, surah As-Soff dan penghujung surah Asy-Syu'ara'. Jadi, untuk dirimu pula, baca juga ya hadis-hadis Nabi itu.

    ReplyDelete
  20. Wahai Kembara Dhaif,

    Ini, aku tulis dengan berat hati dan airmata yang menitis. Hati ini rasa pecah.

    Pihak ketiga. Biar dia - suamimu jelaskan. Sudah sebulan ini, dia kembali beramal dengan wirid syeikhnya, kembali tahajud, kembali berzikir, kembali membaca Quran. Dia mohon petunjuk Tuhan. Dia mohon keampunan Tuhan. Dia bertaubat kepada Tuhan. Ya Allah terima kasih ya Allah. Kalau selama ini, aku lagha dan lalai - aku dengan-Mu. Aku sentiasa penat dan berpenyakit, dia - isteriku pun tahu, tetapi kenapa dia, isteriku seolah-olah buat tak faham dan tak tahu. Dan ya Allah, pada malam yang lepas dia - suamimu telah dicampakkan satu rasa dan gerak hati, yang dia tak ingin percaya, tak mahu percaya, tak mahu terima. Berat hatinya menerima rasa itu. Dia tak mahu percaya - pihak ketiga. ya Allah ya Allah ya Allah.

    Wahai kalau ada, kalau ada .. aku mohon dengan rendah diri dan hati, agar dirimu bertaubat kepada-Nya dan memohon ampun kepada dia, suamimu.

    Tapi aku tak percaya, tak terfikir oleh akal ini.

    Tetapi itulah yang selalu berlaku kepadaku. Tiap apa yang cuba dirahsiakan oleh sesiapa, akan sampai juga kepada suamimu dengan jalan yang tak disangka-sangka.

    ya Allah ya Allah, jauhkanlah aku dari sangka-sangka.

    Wahai, jangan sampai dibukakan Allah kepada suamimu, apa-apa. ya Allah.

    ReplyDelete
  21. Wahai Kembara, kecintaanku.

    Tidak pernah terniat di hatiku, untuk mengabaikanmu. Tidak pernah, tidak pernah, tidak pernah. Apa yang berlaku, adalah kelemahan diriku, khilaf aku, lagha aku, lalai aku. Kita umpama apa yang Pahrol tulis -

    http://genta-rasa.com/2009/03/20/musim-cinta-sudah-berlalu/

    Wahai kecintaanku, bacalah dengan hatimu yang tenang dan tidak marah.

    Wahai kecintaanku, aku telah berikrar kepada diriku, untuk mencontohi Rasulullah dalam melayani seorang isteri. Berilah aku peluang, untuk menebus kesalahan, kelemahanku. Tak akan aku persiakan peluang yang diberikan.

    Aku telah berdoa kepada Allah yang maha Pengasih maha Penyayang, agar kita bermula semula, agar aku dapat membuatkanmu jatuh cinta lagi sekali kepadaku. ya Allah wahai kecintaanku, kalau Allah SWT memberi peluang kepada hamba-Nya bertaubat, kau berilah aku peluang untuk membuktikan ikrarku itu.

    Aku mahu jadi sihat kembali. Aku mahu jadi cergas. Aku mahu jadi rajin, aku mahu membantumu membuat kerja-kerja rumah. Aku mahu bersamamu, bertahajud, membaca al-Quran, ke tempat-tempat pengajian, naik haji bersamamu, kita akan ke Mesir menghantar anak kita belajar ke sana.

    Wahai, untuk pengetahuanmu, telah aku baca ayah dan emakku. Agar mereka lebih menghargai dirimu, dan anak-anak kita. Telah aku ceritakan apa yang berlaku sebenarnya, tentang rumah kita. Telah aku beritahu ayahku, lain kali, kalau dia ada masalah dengan aku, mestui cakap dengan aku, bukan denganmu. Selepas ini, aku bercadang, akan buatkan program keluarga di sini - solat jamaah dan tahlil agar mendapat barakah dan kasih sayang antara kita dan Tuhan.

    ReplyDelete
  22. Wahai kecintaanku,

    Bagaimana aku tidak bersyukur kepada-Nya, keranamu. Sebab, macam yang aku sms, seumur hidupku, kaulah sorang yang paling memahami diriku.

    Wahai, apakah kau menyangka aku tidak berdoa kepada-Nya, untuk kita sekeluarga. Apakah kau menyangka aku tidak pernah membersihkan hati. Bahkan apa yang aku sarankan padamu, aku buat dulu dengan atau tanpa pengetahuanmu. Jangan sampai kau memandang aku begitu. Wahai, berilah dia sedikit ruang.

    Wahai, tidak aku berlepas tangan. Sampai sekarang masih mengajakmu damai. Sampai sekarang menginginkan keluargaku. Wahai, marilah kita bermula semula. Kita lupakan segala sengketa. Dari hati kita yang dalam.

    Wahai, kau akan dapati, dia suamimu telah berubah. Dia hendak beramal dengan hadis-hadis Nabi itu, bagaimana Nabi melayani isterinya, berlemah lembut. Wahai, kalau kau tidak ada, bagaimana pula harus dia laksanakan itu.

    Wahai, betapa payahnya dia hendak menulis di sini, takut dan bimbang disalah-faham. Takut maksud tak sampai. Jadi, mohonlah kau baca ini dengan lapang hati.

    Wahai ...

    ReplyDelete
  23. Wahai kecintaanku,

    aku mohon kepadamu bacalah,
    http://genta-rasa.com/2009/03/20/musim-cinta-sudah-berlalu/

    walaupun sepintas lalu

    ReplyDelete
  24. wahai kecintaanku,

    Telah aku nyatakan hasratku untuk membelikan MPV untukmu November ini. Jadi, kembalilah di sisiku. Kalau kau tiada, terasa tidak berguna pula pembelian itu, sebab memang itulah hasratku, untukmu, untuk urusan keluarga dan anak-anak. Nanti, bila ada MPV, kita kembara bersama ke KL, ke bengkel PTS dan lainnya. Itulah perancanganku untukmu yang tak sempat diberitahu. Kau pun maklum, dia - suamimu tak suka beritahu kalau belum jadi. Jadi, baru beritahu.

    ya, dia suamimu mahu menjadikan kenyataan cita-citamu itu - penulis. ya, selepas ini, dia akan memperhatikan sungguh-sungguh perjalananmu sebagai seorang penulis. Untuk pengetahuanmu, dia sudah berbincang dengan penerbit buku, mahu terbiatkan buku yang ditulis olehmu. Rasanya, pernah dia beritahumu tentang ini. Sebab dia tahu kelebihanmu yang itu. Sebab dari dulu lagi, sebenarnya memang itulah harapannya padamu. Tak perlu berniaga, tak perlu tuisyen ke apa sebenarnya. Ya, menjadi suri di rumah kita, dan menjadi penulis yang prolifik.

    ReplyDelete
  25. wahai kecintaanku,

    Maafkanlah aku kalau ada perkataan di atas menyinggung perasaanmu, tak ada niat untuk berbalah-balah denganmu. Aku hanya mahu berdamai, mahu bermula semula, mahu menjadikan cita-cita kita, rumahtangga yang diredhai tercapai, mahu cita-citamu, surirumah dan penulis tercapai. Mahu membuktikan pada ayahmu, pada ayahku pada sesiapa bahawa kerja yang paling mulia atas muka bumi Tuhan ini, ialah surirumah. Kerana di tangannyalah bakal menggoncang dunia. Mahulah aku jadi suami yang soleh di sisimu. Akanku beramal istiqamah biar terdidik nafsuku, biar baik peribadiku. Kau bantulah aku, kau tolonglah aku wahai kecintaanku. Kau tegurlah aku. Kau berbicaralah dengan aku. Kita akan rancangkan program untuk keluarga kita.

    Wahai, maafkan aku yang bodoh, yang kasar, yang keras, yang jahat. Maafkanlah aku, maafkanlah aku, maafkanlah aku.

    ReplyDelete
  26. O ya kalau kau mahu, ada jemputan penyair nusantara 22/11 ini. Aku mahu mengajakmu dan Ahadnya kita ke bengkel PTS. Tapi kalau kau tak mahu, malaslah nak pergi.

    Wahai cintaku, kembalilah. Berilah jawabmu. Kembalilah ke rumah kita.

    ReplyDelete
  27. Assalamu'alaikum wm wbt..
    TimurLane, rasa yang dicampakkan ke dalam hatimu itu adalah bisikan syaitan. Kau jangan bangga dan kagum dengan kebolehanmu itu sebab banyak yang kuperhatikan, dari rasa-rasa itulah kau jadi buruk sangka dengan orang lain, tak kira rakan, mahupun ustaz mahupun tok guru.

    Dalam hati ini, sudah hilang cita-cita untuk menjadi isteri sesiapa. Aku telah tawar hati dan Allah juga telah menutup pintu hatiku ini. Aku jadi serik. Serik kerana perbuatanmu itu. Dan benar, kau kerugian kerana kau telah terlambat.

    Aku telah memaafkanmu dengan sepenuh hatiku, dalam doa-doaku, dalam sujud dan tangisku. Tapi, tak mungkin untuk aku kembali kepadamu kerana hatiku telah hancur lebur, dan tidak berharap lagi pada kebahagiaan bersuami isteri. Hatiku tertutup buat masa ini. Hilang sudah cita-cita ingin menjadi isteri buat sesiapa pun lagi.

    ReplyDelete
  28. salam Kembara,

    Kau kata apa yang dicampakkan kepadaku, bisikan syaitan. Mana engkau tahu, kau wali atau pandang tembus. Itu bukan kebolehanku. Itu adalah gerak hatiku, yang dicampakkan oleh Allah SWT.

    Siapa yang banyak berburuk sangka, engkau atau aku. Dengan nama Tuhan, cubalah tilik dan muhasabah diri.

    Bukankah yang aku sentiasa menasihatkanmu,supaya
    bersihkan hati.

    Maaf. Apa benar kau sudah memaafkan. Kalau kau benar-benar memaafkan, bukan begini
    apa yang terjadi.

    Syaikh Musthafa Al-‘Adawi berkata, “Apabila masalah antara suami isteri semakin memanas, hendaklah keduanya saling memperbaiki urusan keduanya, berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk, dan meredakan perselisihan antara keduanya, serta menguncikan rapat-rapat setiap pintu perselisihan dan jangan menceritakannya kepada orang lain.”

    “Apabila suami marah sementara isteri ikut beremosi, hendaklah keduanya berlindung kepada Allah, berwudhu’ dan bershalat dua raka’at. Apabila keduanya sedang berdiri, hendaklah duduk; apabila keduanya sedang duduk, hendaklah berbaring, atau hendaklah salah seorang daripada keduanya mencium, merangkul, dan menyatakan alasan kepada yang lainnya. Apabila salah seorang berbuat salah, hendaknya yang lainnya segera memaafkannya kerana mengharapkan wajah Allah semata.”[1]

    Di tempat lain beliau berkata,“Sedangkan berdamai adalah lebih baik, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Ta’ala. Berdamai lebih baik bagi keduanya daripada berpisah dan bercerai. Berdamai lebih baik bagi anak daripada mereka terbengkalai (tidak terurus). Berdamai lebih baik daripada bercerai. Perceraian adalah rayuan iblis dan termasuk perbuatan Harut dan Marut.”

    ReplyDelete